MENTERI PENGAJIAN TINGGI PUJI USAHA USIM PERANGI COVID-19

Sabtu, 04 April 2020
Oleh: Pusat Komunikasi Strategik USIM

1/5

NILAI: Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr Noraini Ahmad meluangkan masa selama dua jam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada petang semalam.

Tujuan lawatan itu bagi melihat secara dekat pengurusan dan kesiapsiagaan USIM dalam memerangi wabak COVID-19.

Beliau yang tiba di Kampus USIM pada jam 4 petang telah disambut oleh Naib Canselor, Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin bersama Pengurusan Universiti; Pegawai Kanan dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Beliau dibawa terlebih dahulu ke Bilik Gerakan Agensi (BGA) di Pusat Kesihatan Universiti untuk diberi taklimat mengenai perkembangan semasa pengurusan COVID-19 di peringkat universiti.

BGA yang ditubuhkan oleh USIM berfungsi sebagai bilik gerakan utama universiti untuk melaksanakan segala gerak kerja pengurusan; pemantauan dan pengumpulan informasi berkenaan COVID-19 dalam kalangan warga kampus.

Beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 8 malam, petugas yang ditempatkan di BGA terdiri daripada Pegawai Bersekutu dan Pegawai Kehormat Badan Beruniform di USIM yang berpengalaman.  

Menerusi taklimat ini, USIM telah berkongsi dengan Menteri Pengajian Tinggi berkaitan pemantauan dilakukan melibatkan empat lokasi utama yang menempatkan warga USIM iaitu di Kampus Induk Nilai, Negeri Sembilan; Kampus USIM Pandan Indah, Selangor; Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Selangor dan pelajar perubatan di Temerloh, Pahang.

Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 12 kluster operasi yang diterajui oleh jabatan tertentu telah dikenal pasti oleh BGA sebagai kritikal dan penting untuk terus beroperasi di USIM. 

USIM juga telah melaksanakan 30 inisiatif gerak balas bencana dalam mendepani COVID-19 bersama tiga inisiatif khas iaitu penghasilan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer); pelindung muka (face shield) dan baju perlindungan diri (PPE).

Pada masa kini, seramai 979 pelajar masih berada di kampus dengan penempatan mereka di kolej kediaman dan menginap luar (menyewa) di sekitar kampus.

Kebajikan melibatkan makan minum dan kesihatan kumpulan pelajar berkenaan sentiasa dijaga dan dipantau oleh USIM.

Selesai taklimat di BGA, beliau kemudian dibawa melawat Fakulti Sains dan Teknologi untuk melihat penghasilan hand sanitizer oleh Kumpulan Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) dan Rumah Mizan USIM yang menjadi lokasi penghasilan face shield menggunakan teknologi mesin cetakan tiga dimensi (3D).

Usaha diterajui oleh pensyarah USIM itu untuk disumbangkan secara percuma bagi memenuhi keperluan petugas kesihatan barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan.

Mengakhiri lawatan ke USIM, Menteri Pengajian Tinggi meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra serta mengagihkan makanan kepada pelajar yang berada di Kolej Kediaman Satu USIM.  

Dalam reaksinya, Dr Noraini memuji persiapan operasi COVID-19 dilaksanakan oleh USIM dan pengurusan kebajikan pelajar yang teratur, melalui hasil kerjasama erat antara Pengurusan Universiti; MPP dan sukarelawan.

Tambahnya lagi, sumbangan kepakaran dan inovasi USIM untuk menyokong barisan hadapan melawan COVID-19 turut dihargai pihak Kementerian Pengajian Tinggi walaupun pasukan berkenaan berdepan beberapa kekangan khususnya bahan mentah, tetapi tidak melemahkan semangat mereka untuk terus membantu.