USIM HASILKAN HAND SANITISER PENUHI KEPERLUAN WARGA KAMPUS

Sabtu, 04 April 2020
Oleh: Pusat Komunikasi Strategik USIM

1/6

NILAI: Pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan cecair hand sanitiser bagi memenuhi keperluan kakitangan dan pelajar USIM.

Matlamatnya sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan virus dan bakteria berbahaya terutamanya semasa penularan COVID-19. 

Pensyarah USIM yang bergerak di bawah Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) menyatakan, usaha itu bukan bagi tujuan komersial tetapi untuk membantu warga kampus berikutan diberi secara percuma.


 

Pada masa sama, kerana menyedari terdapat kesukaran untuk mendapatkan bekalan hand sanitiser di pasaran pada masa kini.

Produk berkenaan dihasilkan mengikut piawaian World Health Organization (WHO) dan turut melalui ujian di makmal penyelidikan USIM untuk memastikan keberkesanannya terhadap mikroorganisma. 

Ketua FaST LaB, Dr Muhammad Zamir Othman yang merupakan pensyarah kanan Program Teknologi Kimia Industri FST berkata, usaha penghasilan kumpulan pertama hand sanitiser itu telah bermula pada 16 Mac lalu secara berperingkat.

"Sebanyak 70 liter hand sanitiser berjaya dihasilkan. Kemudiannya dibotolkan dalam botol mini berkapasiti 60 mililiter, supaya lebih mudah dibawa apabila perlu berada di luar. 

“Proses pembuatan hand sanitiser ini melibatkan beberapa penggunaan bahan kimia seperti Isopropanol; Glycerol; Hidrogen Peroksida dan air.

"Melalui pengawalan keselamatan yang tinggi dalam makmal, proses akhirnya yang amat penting bagi kami iaitu untuk memastikan campuran bahan-bahan ini menghasilkan kepekatan bahan aktif pada paras 75 peratus Isopropanol.

"Kos bagi setiap botol hand sanitiser yang dihasilkan ini tidak melebihi RM3.50 dan projek ini juga sebenarnya turut mendukung aspirasi USIM dalam konteks prosumerism," katanya.

Menurutnya, sebanyak 300 botol mini hand sanitiser 60 mililiter dapat disiapkan dalam produksi kumpulan pertama dan telah diedarkan kepada warga USIM di kampus induknya di Nilai; Kampus USIM Pandan Indah dan pelajar di Kolej Kediaman serta yang tinggal di luar kampus.

"Hand sanitiser ini juga dijadikan bahan isian semula dalam botol sedia ada di Pusat Kesihatan Universiti dan Klinik Pakar Universiti, bagi memastikan bekalan hand sanitiser sentiasa mencukupi” katanya.

Produk berkenaan turut dibekalkan ke jabatan-jabatan kritikal USIM yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya Jabatan Keselamatan; Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti serta Pusat Komunikasi Strategik.

Mereka turut menyumbangkannya kepada komuniti setempat yang memerlukan iaitu terkini kepada Balai Polis Nilai dan Rejimen 508 Askar Wataniah Kem Rasah, Seremban untuk kegunaan anggota yang terlibat dalam kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP.

Kekangan yang dihadapi kini, adalah untuk mendapatkan bahan mentah mencukupi dalam tempoh PKP bagi memenuhi permintaan tinggi yang diterima.

Bagaimanapun difahamkan, perkara tersebut sedang diatasi dengan pihak pembekal kerana mereka mensasarkan pengeluaran sebanyak 100 liter selepas ini.

Usaha Dr. Muhammad Zamir yang mendapat sokongan sepenuhnya Pengurusan Universiti turut dijayakan bersama Dr. Syaza Azhari; Encik Mohd Nazarali Ali; Encik Muhammad Izzat Redzuwan; Cik Siti Nazurah Md Jusoh; Cik Sharifah Shahirah Syed Shaharuddin dan Cik Anis Suraya Mohamed Rasdi.

Bersama membantu di peringkat awal adalah dua siswa iaitu Muhammad Luqman Asnawar (USIM) dan Tengku Nur Anis Fitri Tengku Yahaya Anis (UiTM Perlis).