PERBANYAKKAN KAJIAN SEJARAH, ADAT ISTIADAT MELAYU

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 04 April 2019 

1/5

KUALA PILAH: Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyarankan supaya lebih banyak kajian dilaksanakan oleh anak tempatan terhadap sejarah, adat istiadat dan ketamadunan Melayu.

Baginda bertitah, rujukan yang ada masa kini didapati masih lagi bergantung kepada para penulis sejarah Inggeris seperti Richard Wilkinson, JM Gullick, MB Hooker dan lain-lain lagi.

"Beta amat menggalakkan kajian dan catatan dibuat berkaitan dengan adat-adat diamalkan, kerana rujukan mengenai adat istiadat yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan amat berkurangan.

"Beta berharap agar selepas ini lebih banyak kajian akan dibuat oleh institusi-institusi, fakulti-fakulti dan persatuan-persatuan berkaitan sejarah, adat istiadat dan tamadun Melayu," titah Baginda.

Titah baginda sebagai contoh, Istiadat Menghadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang merupakan sebahagian daripada adat istiadat Negeri Sembilan yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

"Ia perlu dijaga dan dikekalkan sama seperti adat-adat lain yang terkandung dalam Adat Perpatih," titah baginda pada Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Ke-16 iaitu Yang Teramat Mulia Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman, Tuan Haji Maarof Haji Mat Rashad di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Turut berkenan mencemar duli adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz menyeru kepada rakyat di Luak Jelebu termasuk semua Luak Berundang serta Luak Tanah Mengandung untuk bersama-sama dengan kepimpinan adat.

Titah baginda, tujuannya bagi memperkemas serta melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab adat dengan baik.

"Hormati dan junjunglah sistem serta nilai adat yang kita warisi sejak zaman berzaman dengan berpegang teguh kepada perbilangan 'Anak Buah Berbuapak, Suku Berlembago, Luak Berpenghulu, Alam Berajo'.

"Di samping itu, peliharalah tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain ibarat bercincang berlandasan, melompek bertumpuan, air dicincang tidak akan putus," titah baginda.