MANGSA KEBAKARAN LEGA JAMINAN BANTUAN KEDIAMAN

Rabu          03 Oktober 2018          

03 okt 5-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membina sebuah rumah bernilai RM33,000 bagi meringankan beban mangsa kebakaran, Alimah Abu Bakar, di Kampung Ismail Ampangan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, berkata rumah berkenaan akan dibina secepat mungkin sebaik mendapat laporan kebakaran dari pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan.

"Kerajaan negeri akan membantu mangsa dengan membina sebuah rumah asas lengkap sistem pendawaian eletrik menerusi peruntukan sedia ada, dan akan tentukan sama ada ia dibuat secara gotong-royong atau melantik kontraktor.

"Kita akan melaksanakannya secepat mungkin di tapak sedia ada dan berharap rumah itu nanti dapat meringankan beban Alimah dan keluarganya," katanya selepas melawat lokasi kebakaran, petang tadi.

Aminuddin berkata, selain Alimah, bantuan juga turut diberikan kepada beberapa mangsa kebakaran kediaman yang berlaku bulan lalu termasuk di Kuala Pilah dan Rembau.

Sementara itu, Alimah mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang begitu prihatin dengan meluluskan peruntukan bagi membina kediamannya yang musnah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang turun padang dan meluluskan peruntukan bagi membina rumah saya yang hangus terbakar. Saya lega dengan bantuan itu kerana dapat membolehkan kami mendiami rumah sendiri," katanya.