PENGAMBILALIHAN PUSAT HEMODIALISIS MAWAR RINGAN BEBAN RAKYAT

Rabu          03 Oktober 2018          

03 oct 4-1.jpg

SEREMBAN: Langkah kerajaan negeri menerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk mengambil alih operasi Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) adalah bagi memastikan kadar rendah yang dikenakan kepada pesakit ketika ini terus kekal.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, jika pusat itu dikendalikan syarikat swasta sepenuhnya sudah tentu kadar yang dikenakan kepada pesakit hemodialisis berubah dan meningkat.

"Kerajaan negeri tidak mahu masalah berkenaan berlaku yang sudah tentu akan membebankan rakyat terutama pesakit hemodialisis.


"Kita tidak mahu rakyat terbeban dan dalam masa sama

memastikan PHM dapat terus beroperasi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Perbincangan bagi mengambil alih PHM sedang berjalan antara kedua-dua pihak dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

PHM yang ditubuhkan pada 1997 setakat ini mempunyai 13 cawangan di seluruh Malaysia termasuk setiap satu di Sabah dan Sarawak manakala 11 yang lain berada di negeri ini.

PHM di Jalan Rasah di sini adalah pusat hemodialisis yang terbesar di Asia Tenggara dengan mengenakan bayaran berpatutan mengikut kemampuan pesakit.

Aminuddin berkata, kos sebenar bagi pengambilihan PHM masih dalam perbincangan dan sedang diperincikan.

"Kita mahu PHM dapat terus memberikan khidmat kesihatan terbaik kepada rakyat," katanya.