MB NAFI PROJEK MESRA RAKYAT DIBATALKAN

Rabu          03 Oktober 2018          

03 oct 1-1.jpg

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun menafikan terdapat 500 projek Mesra Rakyat di negeri ini yang dibatalkan.

Beliau berkata, dakwaan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, bahawa terdapat 500 projek berkenaan di negeri ini yang dibatalkan adalah palsu.

"Dakwaan itu tidak betul kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan membatalkan projek Mesra Rakyat sebaliknya ia ditangguhkan kerana perlu dinilai semula.

"Tanya dia (Nasrudin) berapa projek masjid atau jalan yang dibatalkan. Sebenarnya ia bukan dibatalkan tetapi ditangguhkan untuk dinilai semula sebelum diteruskan berikutan masalah hutang negara.

"Kita perlu semak semula setiap projek kerajaan terdahulu sama ada ia menepati dengan nilai yang ditetapkan atau sebaliknya kerana setiap projek itu membabitkan duit rakyat.

"Sebab itu kita laksanakan tender terbuka supaya ia telus dan bukannya dengan mudah meluluskan sesuatu projek kepada sesuatu syarikat secara begitu saja," katanya.

Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan 2018, di Dewan Eco Park Rantau, dekat sini.

Jelas Menteri Besar, kerajaan negeri akan mengambil kira keutamaan projek berkenaan sebelum dilaksanakan.

"Sebelum ini ada projek yang berada dalam senarai nombor tujuh tetapi kita berikan keutamaan nombor satu kerana ia lebih penting untuk rakyat.

"Sebenarnya tidak sampai pun 100 projek Mesra Rakyat di negeri ini yang ditangguhkan seperti dakwaan pemimpin Pas itu," tegasnya.

Dalam pada itu, Aminuddin menggesa orang ramai bertanggungjawab memelihara kebersihan sungai yang menjadi sumber bekalan air minuman.

"Tolong jangan buang sampah atau apa juga kotoran ke dalam sungai kerana ia sumber air minuman kita. Adakah kita sanggup melihat sumber alam semula jadi ini musnah kerana sikap kita?," soalnya.