TUNS BANTU USAHAWAN TEMPATAN

Sabtu, 3 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Mohamad Syawal Saleh

SEREMBAN: Kerajaan Negeri mewujudkan satu tabung khas dikenali sebagai Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) untuk membantu pertumbuhan usahawan kecil tempatan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, keusahawanan kini menjadi satu bidang yang menyumbang kepada pembangunan dan peningkatan ekonomi negara.

"Kita telah terima 900 permohonan dan telah luluskan (sebanyak) 211 permohonan. Ini peringkat pertama dan kita dah belanjakan lebih kurang RM623,150.52," katanya.

Menurutnya, jumlah itu hanya 20 peratus daripada keseluruhan amaun diperuntukkan iaitu sebanyak RM3 juta.

Justeru, beliau mahu lebih ramai usahawan merebut peluang berkenaan kerana peruntukan itu perlu diagihkan sepenuhnya pada tahun ini.

Mengulas lanjut, kata Aminuddin, program TUNS melibatkan lima kategori kumpulan sasar yang terdiri daripada usahawan wanita; belia; tani; luar bandar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Ada penerima dalam kalangan usahawan OKU. Hari ini (semalam), empat orang jalankan peniagaan pembuatan makanan dan kedai runcit.

"Kita amat mengalu-alukan golongan ini untuk memohon geran tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran TUNS di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Exco Pelaburan, Peindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, permohonan ini mempunyai empat peringkat dan mensasarkan jumlah penerima seramai 1,000 orang secara keseluruhannya.

"Peringkat pertama sejumlah 211 orang, kita beri tadi (semalam). Kita akan beri geran ini untuk peringkat kedua, kemungkinan besar hujung bulan ini.

"Peringkat ketiga pula pada bulan September dan peringkat keempat, yang terakhir pada bulan Oktober.

"Paling penting mereka ini berniaga dan antara syarat untuk memohon, mesti ada SSM untuk kita nilai selepas dapat geran ini," katanya.

Menurut Mohamad Rafie, ini merupakan sejarah tersendiri bagi Kerajaan Negeri Sembilan kerana buat pertama kalinya usahawan tidak perlu membuat bayaran balik kepada mereka.

"Geran ini bukan pinjaman, sebab itu kita amat galakkan usahawan kecil buat permohonan untuk besarkan perniagaan mereka.

Di samping itu, memastikan ekonomi Negeri Sembilan berkembang pesat," katanya.

Untuk rekod, Program TUNS ini di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS).

PKNNS berperanan menyemak dan memproses permohonan serta membentangkan permohonan tersebut kepada panel-panel untuk dipertimbangkan.