PEMANDU VAN DIDENDA RM3,000 ANGKARA RM1,000

Selasa, 03 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/1

KUALA PILAH: Seorang pemandu van didenda RM3,000 gara-gara menipu wang orang lain sebanyak RM1,000 dalam kejadian dua tahun lalu.

S Ragunadhan, 31, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Tertuduh bersama seorang lagi rakan yang masih bebas, didapati memperdaya Loke Chang Yong, 23, dalam urusan penyewaan bilik pada 24 Jun 2018 bertempat di Taman Selasih, di sini, jam 9.19 malam.

Dia telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berkenaan melalui kaedah perbankan atas talian, kononnya bagi tujuan bayaran pendahuluan penyewaan.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Selain denda sebanyak RM3,000, tertuduh juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar amaun denda ditetapkan oleh mahkamah.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.