GERAN BANTUAN RM3 JUTA UNTUK USAHAWAN MIKRO

Rabu, 03 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM3 juta pada tahun ini, bagi membantu 1,000 usahawan mikro dalam bentuk geran khusus yang dikenali sebagai Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TPUNS).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, amaun maksimum ditawarkan bagi setiap usahawan adalah sebanyak RM3,000 dan tiada amaun minimum ditetapkan.

Bagaimanapun menurutnya, mereka yang  berminat untuk memohon pembiayaan berkenaan mestilah memenuhi empat syarat kelayakan ditetapkan. 

"Pertama, pemilik perniagaan adalah warganegara Malaysia. Kedua, perniagaan dijalankan perlu berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016.

"Ketiga, perniagaan terbabit didaftarkan di Negeri Sembilan atau perniagaan itu beroperasi di Negeri Sembilan.

"Keempat, memenuhi definisi mikro iaitu hasil jualan tahunan diperoleh kurang daripada RM300,000 atau bilangan pekerja sepenuh masa dimiliki kurang daripada lima orang," katanya.

Paling penting kata Mohamad Rafie, usahawan mikro yang telah disenarai hitam oleh institusi kewangan juga boleh memohon TPUNS.

"Komponen pembiayaan yang boleh dipohon meliputi lima kategori iaitu pembelian mesin dan peralatan perniagaan, khidmat rundingan pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.

"Seterusnya melibatkan urusan pembelian bahan mentah dan modal kerja," katanya pada sidang media TPUNS di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS), di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Tuan Haji Ismail Ahmad; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Tuan Haji Bakri Sawir serta Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Puan Nicole Tan Lee Koon.

Mengulas lanjut mengenai TPUNS, kata Mohamad Rafie, sebanyak 85 permohonan telah diterima setakat ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 51 permohonan telah diluluskan manakala 16 permohonan diluluskan secara bersyarat. Satu permohonan pula ditangguhkan dan 17 permohonan lagi ditolak.

"Antara sebab penolakan kerana pemohon tak lagi berstatus mikro, pemohon beroperasi di luar Negeri Sembilan, tak termasuk dalam jenis perniagaan dibenarkan dan permohonan yang tidak berkaitan," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, jawatankuasa TPUNS menyasarkan untuk meluluskan 250 permohonan menjelang penghujung bulan ini dan membantu 1,000 usahawan sehingga hujung 2019.

"Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Pusat Rundingcara Usahawan Negeri Sembilan (PRUNS) di Jalan Zaaba, Seremban.

"Boleh juga hubungi 06-7616871 atau WhatsApp di talian 019-7523251. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui emel di usahawanpknns@gmail.com.

"Selain itu, sila lawati www.pknns.gov.my atau www.facebook.com/pruns.pknns," katanya.