PERUNTUKAN BUKAN DIBATALKAN TAPI DIKAJI SEMULA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 03 Februari 2019 

1/4

SEREMBAN:  "Saya kena semak balik (perkara ini), sebab ada beberapa masjid yang kelulusannya ditarik balik tempoh hari. Bukan dibatalkan (pembinaannya).

"Kita tak nak jadi isu, sebab benda (peruntukan pembinaan) itu dapat balik. Masjid itu kita akan bina, insya-Allah. 

"Statusnya masih lagi (sama), kerana kita memerlukan sebuah masjid di sana," jelas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.  

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan kononnya peruntukan untuk membina sebuah masjid baharu di pinggir Bandar IOI di Bahau, Jempol dibatalkan.

Menurut Aminuddin, penarikan kelulusan itu bagi memberi laluan untuk kajian semula terhadap projek berkenaan.

"Ada masjid yang mana peringkat awalnya ditarik balik (kelulusan), tapi diberi semula peruntukan lebih baik berbanding terdahulu sebab mereka (Kerajaan Persekutuan) lihat keperluan itu penting.

"Ini yang berlaku di Nilai Impian dan Taman Bukit Kepayang. Bajet diberikan bagi dua contoh (masjid) saya katakan tadi bukannya berkurangan, malah bertambah," katanya.

Tegas beliau, langkah itu amat penting untuk mengelakkan sebarang permasalahan dalam pembinaannya kelak.

"Sekarang kita lihat banyak tapak yang diserahkan untuk pembinaan masjid, tak bersesuaian. Contohnya tanah paya yang diserahkan.

"Macam untuk kerja tanah di Taman Bukit Kepayang saja, melibatkan jutaan ringgit. (Ini) yang tak sepatutnya berlaku. Akhirnya kita juga yang terpaksa menanggung.

"Jadi kita nak lihat tapak masjid itu sesuai atau tak, ada tak kos tambahan. Jangan kita buat sesuka hati. Sebab itu, kita akan lihat (kaji) semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina di Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban, di sini.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Seremban, Tuan Anthony Loke dan Ahli Parlimen Rasah, Tuan Cha Kee Chin.

Sebelum ini media melaporkan, pembinaan masjid di kawasan seluas 2.2 hektar itu didakwa sudah mendapat peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Difahamkan berdasarkan surat ICU JPM bertarikh 26 April 2016, dinyatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu telah bersetuju meluluskan peruntukan RM7.17 juta untuk pembinaan masjid berkenaan.