ISTIADAT KERJAN DATO' RAJA PANGLIMA

Isnin, 02 September 2019

Oleh: Nisa Ardila

1/2

KUALA PILAH: Istiadat Kerjan Dato’ Raja Panglima Suku Batu Hampar 40 Lingkungan (Pelangai) telah diadakan di Kampung Pelangai, di sini, baru-baru ini.

Jawatan itu disandang oleh Encik Norafandi Sulaiman, 54, yang bertugas sebagai pembantu operasi Kolej Vokasional Juasseh.

Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Buapak Suku Batu Hampar 40 Lingkungan (Pelangai), To’ Sathi Maharaja Bahari Ismail.

Dalam ucapannya, Dato’ Raja Panglima Norafandi berikrar akan menjalankan amanah dengan adil dan saksama.
 

Matlamatnya untuk memelihara kesinambungan adat dan istiadat Istana Besar Seri Menanti, termasuk anak-anak buah di bawahnya.

Sekiranya terdapat permasalahan yang berkaitan dengan adat, katanya, maka beliau; Buapak atau Besar Waris perlu dirujuk demi kebaikan anak-anak buah Suku Batu Hampar 40 Lingkungan (Pelangai).

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) yang telah menyalurkan peruntukan menerusi dana memperkasakan Adat Perpatih bagi membiayai istiadat kerjan itu.

Pada 20 Ogos 2018, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah berkenan mengurniakan gelaran pusaka Apit Lempang Orang Empat Istana, Istana Besar Seri Menanti bergelar Dato’ Raja Panglima Norafandi Sulaiman daripada Suku Batu Hampar 40 Lingkungan (Pelangai).

Difahamkan bahawa pihak LMNS turut membuat dokumentasi sepanjang istiadat berkenaan berlangsung.

Antaranya adalah perbilangan adat, lafaz pengisytiharan Dato’ Raja Panglima, latar belakang Dato’ Raja Panglima, istiadat mengadap Buapak; Besar Waris; Waris Bersoko; Orang Nan Seadat; Orang Nan Seresam dan lafaz ikrar Dato’ Raja Panglima.