MAJUKAN KAMPUNG DENGAN PROJEK EKONOMI

Ahad          02 September 2018         

40694457_480518329083905_425131336436757
40613860_480518675750537_277875318663728
40650914_480518499083888_884309889234711
40595695_480518432417228_645280132985205
40647565_480518835750521_737395704472797

KUALA PILAH: Pengwujudan projek kolam pancing udang galah dan ikan di Kampung Tapak yang diusahakan seorang usahawan, diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan kampung berkenaan.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, projek itu yang diusahakan oleh Mohamad Taufik Razali, 37, di kawasan tanah terbiar adalah usaha yang baik dan perlu diberikan sokongan.

"Projek kolam pancing yang diusahakan Mohamad Taufik ini suatu inisiatif yang baik di mana ianya akan memberi impak tinggi kepada kemajuan dan kejayaan kampung ini

.

"Ini adalah suatu contoh baik yang dilakukan seorang anak muda untuk melihat kemajuan kampung. Sememangnya anak muda patut bergerak ke hadapan dalam membantu memajukan kampung mereka.

"Tanpa mendapat bantuan daripada kerajaan, Mohamad Taufik sudah membuktikan usaha yang dilakukannya ini

amat baik dalam memastikan kampung ini dapat dimajukan.

"Saya yakin projek ini akan memberi impak positif dari segi mengembangkan lagi aktiviti ekonomi yang akhirnya memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kolam Pancing Udang Galah TR di Kampung Tapak, Batu Kikir, di sini, hari ini.

 

Aminuddin berharap usaha yang dibuat oleh Mohamad Taufik itu dapat dicontohi anak muda yang lain dalam memajukan kampung.

Beliau yakin projek itu yang membabitkan perbelanjaan lebih setengah juta ringgit bakal menjadi tarikan baharu di kampung berkenaan sekali gus mendorong lebih ramai pengunjung termasuk dari luar negeri ini berkunjung ke situ.

"Projek ini juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk memajukan lagi eko-pelancongan sebagai tarikan utama pelancong.

"Tambahan pula, ianya dapat dirancang dengan baik melalui cadangan pengwujudan beberapa kemudahan lain kelak seperti homestay, chalet, kawasan aktiviti lasak dan perkhemahan," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut memaklumkan bahawa cadangan menaik taraf jalan yang menghubungkan antara Jeram Tengkek ke Talang akan dilakukan secepat mungkin.

"Saya sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya jalan berkenaan dapat dinaik taraf," katanya.