MUZIUM ISTANA LAMA SERI MENANTI BERWAJAH BAHARU

Jumaat, 2 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/6

KUALA PILAH: Projek pemuliharaan dan naik taraf Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dilihat sebagai satu usaha mempertahan dan melindungi pusaka budaya bangsa yang menjadi warisan zaman-berzaman.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, Kerajaan Negeri mahu Seri Menanti menjadi pusat pelancongan utama di Negeri Sembilan, selain Port Dickson.

"Proses baik pulih istana lama ini dapat beri faedah kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

"(Tambah lagi) terdapat banyak produk pelancongan di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, bangunan tersebut memiliki nilai budaya yang cukup tinggi dari aspek seni reka dan struktur binaan.

"Istana dibina pada tahun 1908 ini dapat menjadi satu (mercu) tanda untuk menarik minat pelancong datang ke sini," katanya.

Aminuddin selaku Exco Pelancongan berkata, pihaknya berharap Bandar Diraja Kuala Pilah akan menjadi tumpuan sepertimana Bandar Diraja yang lain.

"Di Johor ada (Bandar) Diraja Muar, di Perak ada (Bandar Diraja) Kuala Kangsar.

"Kita harap dapat tambah lagi bilangan pelancong bukan saja dari Negeri Sembilan, tapi dari luar dan antarabangsa.

"Selain (itu) dapat tarik peminat seni untuk datang sendiri melihat keunikannya, apabila pengubahsuaian dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pemuliharaan dan Naik Taraf Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyeru orang ramai dari serata tempat untuk datang ke Negeri Sembilan bagi melihat sendiri keunikan yang terdapat pada bangunan bersejarah itu.