BAZAR DEEPAVALI BANTU 61 SEKOLAH TAMIL

Jumaat          02 November 2018          

02 nov 1-1.jpg

SEREMBAN: Sebanyak 61 sekolah Tamil di negeri ini bakal menerima bantuan dana hasil jualan tapak Bazar Deepavali yang sedang berlangsung di Little India, bandar Seremban, sempena sambutan perayaan Deepavali.

Bazar julung kali diadakan anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) itu sudah bermula sejak 27 Oktober lalu dan akan berakhir pada 5 November ini.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Tuan J Arul Kumar berkata, sumbangan itu akan disampaikan kepada 61 sekolah berkenaan pada majlis perasmian bazar, jam 7.30 malam esok.

Katanya, hasil jualan tapak bazaar itu diberikan sama rata bertujuan meringankan beban mereka.

"Sebenarnya penganjuran bazar ini dicetuskan oleh Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, dalam usaha membantu bidang pendidikan di sekolah Tamil.

"Sebelum ini kita dapati bazar tersebut dianjurkan oleh parti politik. Tapi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), konsepnya diubah dalam bentuk amal bagi membantu sekolah dan pelajar Tamil terbabit," katanya kepada NS Daily.

Arul berkata, sebanyak 120 gerai disediakan yang menjual pelbagai barangan berupa pakaian dan aksesori, selain turut diadakan pertunjukan dan pertandingan kebudayaan serta acara kesenian.

Beliau berkata, selain dapat mengumpul dana, bazar itu juga memberi peluang kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan untuk mempromosikan barangan dan menambah pendapatan.

"Setakat ini sambutan orang ramai yang hadir sangat menggalakkan dan kita menjangkakan lebih ramai akan mengunjungi bazar itu pada majlis perasmian malam esok (3 November) dan seterusnya sehingga berakhirnya program berkenaan," katanya.