PERUNTUKAN RM100,000 UNTUK PERSATUAN BELIA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 02 Mei 2019 

SEREMBAN : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada persatuan belia di Negeri Sembilan, bagi membolehkan golongan terbabit menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan menerusi Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan untuk diagihkan.

"(Tujuannya) untuk kita pastikan pergerakan belia ini dapat diteruskan. Kita harap bahawa (peruntukan) ini akan membantu mereka menjayakan aspirasi belia iaitu 'Youth Power'," katanya.

1/1

Dalam pada itu kata beliau, ada cadangan untuk mempelbagaikan lagi kategori ikon melibatkan golongan belia di negeri ini pada masa akan datang.

"Kita ramai juga (belia) yang berjaya. Mungkin kita akan kumpul tokoh-tokoh ini, selepas itu baru buat anugerah atau ikon untuk Negeri Sembilan.

"(Contohnya) ikon sukan, ikon tilawah dan macam-macam (lagi) ikon kita boleh buat. Jadi kita akan buat, tak semestinya seorang saja (ikon).

"Mereka boleh bimbing dan bina semangat kepada golongan belia," katanya selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan 2019 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Mohd Khidir Majid.