PERJANJIAN SEMPADAN ANTARA NEGERI SEMBILAN DAN MELAKA DIMETERAI

Selasa, 02 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Nabilsyafiq MH

1/3

PUTRAJAYA: Negeri Sembilan dan Melaka memeterai perjanjian melibatkan jajaran sempadan darat sejauh 89.1 kilometer yang bermula dari Lubok Kedondong ke Muara Sungai Linggi.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Melaka, YAB Tuan Haji Adly Zahari, sambil disaksikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr Xavier Jayakumar.

Dr Xavier Jayakumar berkata, Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Melaka telah bersetuju agar sempadan sungai antara kedua-dua negeri berpandukan kepada garisan lurus yang menyambungkan titik-titik tengah aliran sungai secara semulajadi.

Menurutnya, usaha itu susulan dua memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani kedua-dua negeri pada 29 Oktober 2013 dengan masing-masing bersetuju menerima triti lama berkaitan persempadanan berkenaan.

"Sempadan darat antara Negeri Sembilan dan Melaka adalah berasaskan perjanjian lama iaitu Rumbowe Boundary Agreement bertarikh 9 Jun 1833 dan Johole 1833 (Treaty of 26th August 1833 with Johole concerning the Malacca Boundary)," katanya.

Pada masa sama katanya, langkah tersebut juga selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Sembilan dan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka, masing-masing pada 15 Disember 2010 dan 9 Februari 2012.

"Kerja-kerja penandaan dan pengukuran telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selaku autoriti berkelayakan dalam hal ehwal persempadanan, bermula 2 Februari 2015 hingga 16 Disember 2015.

"Kos penandaan dan pengukuran ini hampir mencecah RM850,000 yang dibayar oleh kedua-dua pihak, termasuk Kerajaan Pusat. Proses ini melibatkan tiga pasukan ukur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian berkenaan yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato' Hasim Hasan.