UBAH MINDA KE ARAH POSITIF

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib          Ahad, 02 Disember 2018 

PORT DICKSON: "Penjawat awam khususnya di Negeri Sembilan, selalu saya ingatkan bahawa kita kena sentiasa berubah (ke arah positif) setiap masa, detik dan ketika. 

"Jika kita tak berubah, maka kita yang terpaksa diubah," tegas Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun tatkala menyentuh peranan dan komitmen penjawat awam terutama kerajaan tempatan dalam melaksanakan tugas.

 

Menurutnya, perubahan ditunjukkan oleh penjawat awam dan kerajaan tempatan di Pulau Pinang wajar dijadikan contoh teladan yang baik.  


"Pengalaman saya pada 1991 hingga 1993 di Pulau Pinang, amat berbeza dengan apa yang ada di Georgetown hari ini. Dulu (masa) saya tinggal di Pulau

Pinang, saban hari (hidu) bau busuk. 

 

"Sampah merupakan satu perkara yang biasa (dilihat) di bandar Pulau Pinang. Tapi hari ini, Pulau Pinang mampu berubah jadi bandar yang cantik dan bersih. 

 

"(Puncanya) kerana ada perubahan dalam minda penjawat awam dan PBT (pihak berkuasa tempatan) di Pulau Pinang. Tahniah saya ucapkan," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia 2018 di PD Golf and Country Club, di sini, malam tadi.

 

Turut hadir adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.