FELDA SUNGAI KELAMAH PERINTIS PROJEK BEBAS DADAH

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 02 April 2019 

1/3

SEREMBAN: Felda Sungai Kelamah di Gemas telah dipilih oleh Kerajaan Negeri Sembilan sebagai projek perintis bagi menjayakan Pelan Tindakan Felda Bebas Dadah 2023.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, matlamat pelan tindakan tersebut untuk mencapai sekurang-kurangnya Satu Kawasan Felda Bebas Dari Ancaman Dadah Menjelang 2023.

Menurutnya, pemilihan lokasi berkenaan telah diputuskan melalui hasil Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan Bilangan 1/2018 pada 27 Ogos 2018.

"Setakat Februari 2019, kawasan Felda ini menunjukkan perkembangan baik. Tiada peningkatan penagih dadah yang baru, serta kes berulang dicatatkan.

"Orang Kena Pengawasan (OKP) di dalam pemantaun AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) dari Felda Sungai Kelamah setakat ini pula seramai 20 orang.

"Ini merupakan 1.2 peratus daripada jumlah populasi kawasan terbabit iaitu seramai 1,612 penduduk dan menempatkan 703 keluarga," katanya.

Mengulas lanjut projek perintis berkenaan, Aminuddin berkata, tujuannya untuk menjadikan Felda sebagai satu kawasan selamat dan sihat, serta jadi contoh kepada kampung dan kawasan sekitar dalam usaha memerangi dadah.

"Kita juga berhasrat untuk mencapai sasaran kadar penyalahgunaan dadah kurang daripada satu peratus dinisbahkan dengan jumlah penduduk di daerah Tampin pada tahun 2023," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan Bilangan 1/2019 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri, di sini.

Turut hadir adalah Tmbalan Ketua Pengarah (Dasar) AADK, Dr Sabri Zainudin Zainul; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Haji Pkharuddin Ghazali dan Pengarah AADK Negeri Sembilan, Puan Nazira Sadiron.