KATALOG BANJIR SEBAGAI PANDUAN HADAPI BANJIR

Selasa, 1 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Katalog Banjir Negeri Sembilan yang dilancarkan pada Mac lalu menjadi panduan kepada agensi kerajaan dan orang awam, ketika berdepan bencana berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, Cik Hayati Zainal berkata, katalog pertama kali diperkenalkan di Malaysia itu mengandungi 113 kawasan khas atau 'hotspot' yang dikenal pasti pernah mengalami banjir di negeri ini.

"Kita pernah uji pada awal 2019. Bila hujan turun melebihi 60 milimeter di Tampin, kita hantar amaran dan (dapat) jangka dengan tepat lokasi banjir kilat berdasarkan katalog itu. Ia boleh dipercayai.

"Katalog itu (merupakan) cetakan pertama dan kita akan sentiasa buat penambahbaikan setiap tahun, pada senarai lokasi banjir," katanya.

Menurutnya, orang awam boleh memuat turun katalog berkenaan di laman sesawang jpsns@ns.gov.my bagi mendapatkan maklumat dan rujukan sebagai persediaan berdepan banjir di masa akan datang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Sementara itu, Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun mengingatkan orang ramai supaya prihatin dengan tahap kebersihan sungai dan tidak membuang sampai ke dalam sungai.

"Kita nak pastikan semua sungai dalam keadaan baik, kerana ini sumber minuman kita setiap hari. Kita juga kena ada (rasa) tanggungjawab sebab apa yang diminum datang dari sungai," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kesemua 482 sungai di Negeri Sembilan pada masa ini dalam keadaan baik dan tidak tercemar.