MBI AMBIL ALIH PHM

Isnin          01 Oktober 2018          

01 oct 6-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan mengambil alih pengurusan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) sebagai sebuah Hospital Rakyat dan pusat dialisis milik penuh kerajaan negeri.

Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pengambilalihan PHM tidak akan membabitkan pemberhentian kakitangan pekerja atau perubatan.

"Tindakan mengambil alih PHM bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada membantu dan meringankan beban rakyat.

"Kita mahu pastikan PHM dapat beroperasi seperti biasa dengan tidak menjejaskan kakitangan di semua peringkat selain pesakit dapat meneruskan rawatan mereka seperti yang sudah ditetapkan.

"Keputusan ini membolehkan hospital ini diletakkan di bawah pengurusan yang lebih baik untuk rakyat selaras dengan matlamat memberikan khidmat terbaik sepertimana motto kerajaan negeri iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera," katanya selepas melawat PHM, hari ini.

Hadir sama, Ahli Exco Teo Kok Seong dan Nicole Tan Lee Koon serta Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Khidir Majid dan Pengerusi PHM Datin Chua Lay Ping.

Aminuddin berkata, pengambilalihan PHM membolehkan rakyat negeri ini mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan khasnya hemodialisis dengan selesa melalui Kad Sihat Negeri Sembilan, yang akan diwujudkan tidak lama lagi.

Beliau juga berkata, PHM akan bertindak sebagai hospital panel untuk veteran tentera selain hospital latihan bagi penuntut universiti.

"Kerajaan negeri merancang mengembangkan lagi fungsi serta peranan PHM di masa akan datang, supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri ini," katanya.