IPG KAMPUS RAJA MELEWAR KEKAL FUNGSI DAN PERANAN

Jumaat, 2 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Mohd Zamzuri Daud

1/3

SEREMBAN: Kolej Permata Pintar (KPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mula beroperasi di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar mulai Januari tahun depan.

Sungguh pun begitu kata Pengarahnya, Dr Nizam Haji Abd Latib, lokasi tersebut akan terus mengekalkan peranannya sebagai pusat untuk melahirkan bakal pendidik.

'Fungsi IPG Kampus Raja Melewar akan terus kekal seperti sebelumnya, tapi kita akan kongsi dengan KPP dari segi kemudahan.

"Jadi, pelajar kita akan terus ada (untuk meneruskan pengajian) di sini," katanya kepada NS Daily, di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua pihak mungkin mempunyai kepentingan bersama pada masa akan datang seperti program latihan Permata Pintar supaya ilmu dimiliki dapat dimanfaatkan.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan mengatakan IPG Kampus Raja Melewar akan ditutup dan digantikan dengan KPP sepertimana diumumkan kerajaan terdahulu.

Pada pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan bahawa sembilan IPG yang tidak digunakan bakal diubah menjadi politeknik dan kolej vokasional, dalam usaha mengoptimumkan aset kerajaan.

Dua IPG sedia ada iaitu IPG Kampus Raja Melewar, di sini dan IPG Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang pula bakal ditukar menjadi Pusat Permata sehingga mengundang bantahan banyak pihak.