BAKAL GURU PERLU KREATIF, INOVATIF SEIRING INDUSTRI 4.0

Khamis, 1 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Mohd Zamzuri Daud

1/4

SEREMBAN: Pendidikan adalah platform utama dalam merealisasikan kehendak Revolusi Industri (IR) 4.0, bagi menghasilkan tenaga kerja bersesuaian dengan kehendak industri pada masa depan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sistem pendidikan negara ini sentiasa menyeimbangkan unsur jasmani, emosi, rohani dan intelektual agar kekal selari meskipun pelbagai program digubal dari semasa ke semasa.

 

"Sebagai contoh, Program TS2 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, untuk meningkatkan kemenjadian murid, keberkesanan kepimpinan dan sekolah berkualiti," katanya.

Menurutnya, Institut Pendidikan Guru (IPG) merupakan sebuah institusi bagi melahirkan individu berketerampilan tinggi serta memiliki tenaga kerja yang lebih produktif; berinovasi dan kreatif.

"Kita menuju kepada negara berteknologi tinggi. Semuanya maju dan kita tak boleh tertinggal.

"Kita mahu guru pelatih diberi pendedahan tentang perkembangan teknologi terkini, supaya tak kekok dan mampu adaptasi suasana semasa," katanya.

Tambahnya, guru pelatih perlu dipersiapkan dengan ilmu kemahiran bagi menghadapi dunia nyata yang penuh cabaran.

Matlamatnya agar tidak ketinggalan atau mengalami siri tekanan dalam persaingan peringkat lokal mahu pun global.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Karnival Pendidikan Kebangsaan, Kerjaya dan Inovasi IR 4.0 di IPG Kampus Raja Melewar, di sini, semalam.

Namun dalam kepesatan menuju ke arah IR 4.0, tegas Aminuddin, budaya dan adat resam tetap perlu dijaga dan dipertahankan.

"Di samping ke arah industri 4.0, kita tak lupa tentang adat Negeri Sembilan, cukup berlainan dan cukup unggul.

"Kalau tinggi mana pucuk sampai ke langit, kita tetap tak lupa akar di bawah," katanya.