351 UNIT RUMAH UNTUK PENJAWAT AWAM NS

Khamis, 1 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

SEREMBAN: Penjawat awam yang berkhidmat di Negeri Sembilan bakal menikmati faedah menerusi Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan yang dijangka siap, dua tahun lagi. 

Sebanyak 351 unit rumah bakal dibina melalui perjanjian usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dan Syarikat De Four Development Sdn Bhd dengan Jumlah Nilai Pembangunan (GDV) dianggarkan RM64 juta.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek perumahan berkenaan melibatkan tanah milik PKNNS seluas 45.10 ekar berdekatan S2 Heights dan Bandar Ainsdale.


 

"(Jenis) Type A ada tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan 22'x65' sebanyak 150 unit,  harga bermula dari RM90,000.

"Bagi (Jenis) Type B, sebanyak 201 unit berkeluasan 22'x70'. Ada empat bilik, dua bilik air. Harga pula dari RM250,000," katanya.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKNNS berkata, kawasan perumahan terbabit turut menawarkan kemudahan termasuk surau; dewan serbaguna; gerai awam dan kawasan lapang untuk kegunaan bakal pembeli.

"(Kemudahan) ini akan beri satu imej baru kepada penjawat awam yang berpendapatan rendah," katanya.

Menurutnya, ini merupakan projek pertama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan projek akan bermula sejurus mendapat lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Usahasama di antara PKNNS dan De Four Development Sdn Bhd di Wisma Negeri di sini, semalam.

Menurutnya sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 1,119 borang permohonan bagi (Jenis) Type A dan 169 borang permohonan bagi (Jenis) Type B diterima.

"Kita tak nak penjawat awam berulang-alik terlalu jauh, (maka) kita beri ruang supaya dekat dengan pejabat Kerajaan Negeri untuk mudahkan mereka.

"Kita juga rasa keperluan dalam sistem masyarakat. Kita tak ingin lihat ada (wujudnya) kawasan elit, kawasan tak elit.

"Ini boleh merosakkan masyarakat dari segi perhubungan (silaturahim). Itu tujuan kita," katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan meneliti beberapa peraturan demi memastikan tiada pembeli menjual dan mengubah suai kediaman sewenang-wenangnya.

Katanya, beliau juga akan melihat kawasan yang bersesuaian bagi meneruskan projek perumahan itu pada masa akan datang berikutan banyak menerima permohonan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Yayasan Negeri Sembilan (YNS) turut merancang projek pembinaan rumah mampu milik untuk orang awam dengan keluasan 100 ekar.