PH KEKAL PENDIRIAN TERHADAP PUSAT PELUPUSAN SISA TOKSIK

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 01 Mei 2019 

SEREMBAN : Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan bahawa pendirian mereka terhadap pusat pelupusan sisa toksik di Sendayan tetap sama, walaupun selepas menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong (PH-Bahau) berkata selaku kerajaan baharu, pihaknya telah pun mencadangkan agar kilang tersebut dipindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai.

"Sejak tahun lepas, kita sudah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Kementerian (Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) supaya mengkaji dan memindahkan kilang itu ke tempat yang lebih jauh dan lebih sesuai.

1/2

"Kita faham bahawa kewujudan kilang itu di Sendayan, sedikit sebanyak telah menyebabkan kebimbangan orang ramai. Sebenarnya pihak Kerajaan Negeri (juga) masih terus berunding dengan pihak Kualiti Alam atau namanya Cenviro (Sdn Bhd) sekarang," katanya.

Seandainya pusat pelupusan sisa toksik terbabit tidak dapat dipindahkan, kata Kok Seong, maka Kerajaan Negeri akan mengenakan syarat keselamatan yang lebih ketat terhadap premis berkenaan.

"Kita akan pastikan tak ada sebarang pencemaran (berlaku) dan kita akan wajibkan kilang tersebut untuk tambah baik sistem mereka yang sedia ada.

"(Walau bagaimanapun) kita akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan kilang terbabit dapat dipindahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diajukan persoalan oleh Dato' Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai pendirian Kerajaan Negeri terhadap pusat pelupusan itu.

Pusat pengurusan sisa Kualiti Alam mula dibina pada 1992 dan menerima sisa toksik pertamanya pada 1996, serta diberi lesen untuk beroperasi sehingga 2015 yang mana disambung selama 15 tahun lagi.

Kawasan seluas 56 hektar itu menyediakan pelbagai fasiliti berkaitan seperti pengangkutan, analisis, rawatan dan pelupusan akhir buangan berjadual.