342 JAWATAN KOSONG KAKITANGAN KERAJAAN
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib Rabu, 01 Mei 2019
SEREMBAN : Kerajaan Negeri berhasrat membuat pengambilan seramai 342 tenaga kerja baharu melibatkan pelbagai gred dan skim pada tahun ini, berdasarkan pengisian oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) ketika menjawab soalan Dato' Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemencheh) pada hari kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini.
Walau bagaimanapun kata beliau, pihaknya masih tertakluk dengan proses dan prosedur pengambilan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Sehubungan itu, Aminuddin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sama sekali tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah kakitangan penjawat awam sedia ada.
"Sehingga bulan Mac 2019, tiada kakitangan yang ditamatkan perkhidmatannya. Kita juga maklum bahawa kita (Kerajaan Negeri) kekurangan lima jawatan dalam pengurusan dan profesional.
"337 (selebihnya pula) bagi jawatan kumpulan sokongan, yang mana 80 orang untuk pembantu tadbir (Gred) N19 telah kita iklankan jawatan tersebut dan dapat kelulusan daripada SPA," katanya.
Sebelum itu, Mohd Isam ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri akan mengurangkan jumlah kakitangan awam dan berapa ramai yang telah ditamatkan perkhidmatan.