ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) DIPERKASA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 01 Mei 2019 

SEREMBAN : Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-Undang membabitkan pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Enakmen No. 4 tahun 1992).

Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) Pindaan 2019 itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) pada hari kelima persidangan DUN.

Bagaimanapun Fasal 2 dan Fasal 12 telah digugurkan sebelum diluluskan, selepas kesemua 21 Fasal berkenaan dibahaskan secara dasar serta dipertimbangkan sefasal demi sefasal di peringkat jawatankuasa.

1/1

Menurut Aminuddin, matlamat pindaan tersebut dilaksanakan bagi memperkasa dan memperkukuhkan lagi undang-undang Syariah, serta syiar Islam di Negeri Sembilan. 

Antara perkara diketengahkan seperti Fasal 5, bertujuan meminda Seksyen 50 Enakmen No. 4 tahun 1992 bagi memperluas kesalahan mempermain, mengajuk, dan mengejek-ejek perjalanan mana-mana mazhab muktabar dan lain-lain.

Seterusnya adalah Fasal 13 yang bertujuan meminda Seksyen 60 Enakmen No. 4 tahun 1992, iaitu dengan memasukkan hukuman sebat bagi kesalahan persetubuhan haram.

Objektif Fasal 14 pula untuk meminda Seksyen 66 Enakmen No. 4 tahun 1992, di mana menjadi kesalahan apabila seorang lelaki memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam jika ia melakukan sedemikian bagi maksud apa-apa perbuatan tidak bermoral.

Fasal berkenaan juga menaikkan penalti sedia ada bagi kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan, daripada didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan kepada didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Sementara itu, Fasal 15 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 66A ke dalam Enakmen No. 4 tahun 1992 berhubung kesalahan mana-mana perempuan memakai pakaian lelaki atau berlagak seperti lelaki di tempat awam bagi maksud apa-apa perbuatan tidak bermoral.

    

Bagi Fasal 17, matlamatnya  untuk meminda Seksyen 75 dengan memasukkan subseksyen baharu (2A) ke dalam Enakmen No. 4 tahun 1992.

Pindaan itu memperuntukkan hukuman gantian untuk membolehkan Mahkamah memerintahkan supaya mana-mana perempuan yang didapati bersalah atas suatu kesalahan hamil luar nikah, untuk dimasukkan ke suatu pusat pemulihan selama suatu tempoh tidak lebih dua tahun.