BANTUAN SEGERA KEPADA TIGA ANAK YATIM

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 01 Mac 2019 

1/5

SEREMBAN:  "Saya dah bertanya kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), supaya perkara ini diselesaikan dengan segera.

"Exco Kerajaan Negeri, Dr Mohamad Rafie (Abd Malek) pun dah lawat kawasan tersebut. Kita akan bantu," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun. 

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas pembelaan diberikan oleh Kerajaan Negeri terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun di Ampangan, di sini.

Remaja terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), terpaksa bekerja sambil belajar untuk menyara dua adik berusia 15 dan 12 tahun.

Bapa ketiga-tiga remaja berkenaan telah meninggal dunia pada awal tahun ini ekoran masalah kanser, manakala si ibu telah meninggalkan mereka sejak 2016 akibat perceraian.  

Sehubungan itu, Aminuddin berharap agar pihak-pihak berkaitan dapat menyalurkan maklumat membabitkan permasalahan tersebut untuk tindakan sewajarnya.

"Jadi apabila maklum saja, kita dah bertindak untuk pastikan anak-anak ini dijaga dengan baik. Mendapat bantuan sepatutnya, insya-Allah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Jabatan Pentadbiran Daerah Seremban di Rantau Eco Park, Kuala Sawah, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik serta Exco Kerajaan Negeri antaranya YB Teo Kok Seong; YB Tuan Haji Mohamad Taufek Ab Ghani; YB S Veerapan dan YB Tuan Haji Bakri Sawir.