KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI SEMBILAN HARUS PROAKTIF JALANKAN TUGAS

Isnin, 1 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Nabilsyafiq MH

1/3

SEREMBAN: Setiap kakitangan Kerajaan Negeri Sembilan diingatkan supaya proaktif dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul, demi kebaikan rakyat negeri ini secara keseluruhan.  

 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, semua agensi kerajaan di negeri ini perlu turun padang dan memaklumkan sebarang salah laku bagi mengelakkan insiden tidak diingini menimpa masyarakat.

"Walaupun (salah laku dan kepincangan) itu bukan melibatkan tugasan mereka, kena maklumkan pada kita. (Tujuannya) supaya perkara (tak baik) yang berlaku di negeri lain, tak berulang di Negeri Sembilan.

"Saya tak nak lihat ada perkara (buruk) yang berlaku di sebelah premis atau kawasan di sesuatu tempat (tapi) tak dilaporkan, kerana mereka kata ini bukan kerja mereka.

"Ini satu perkara yang tak harus ada dalam (mentaliti) kakitangan kerajaan. Dalam pemikiran mereka, perkara ini perlu dikeluarkan," katanya.

Pada masa sama, tegas Aminuddin, kakitangan kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan semua penguatkuasa dan pegawainya turun padang bagi membuat pemantauan.

"Kita tak nak lagi (mereka) hanya tunggu laporan dan aduan (orang ramai). Kita nak hari ini, pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sembilan (bergerak secara) proaktif.

"Alhamdulillah buat masa ini, (keadaan) semuanya terkawal. Cuma kita nak ada tindakan pencegahan, iaitu pegawai-pegawai kita beri aduan apa jua permasalahan yang berlaku," katanya.  

   

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang program Kindness Day: Larian Amal Cabaran Bukit Putus di KipMall, Senawang, di sini, semalam.

Turut hadir adalah ADUN Paroi, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Dato' Haji Zazali Salehudin serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Tuan Nor Azli Mohamad Daud.