GERAK KERJA PENTADBIRAN HARUS DIPERCEPATKAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 01 Februari 2019 

1/5

SEREMBAN:  "Dah tiba masanya, semua gerak kerja harus dipercepatkan. Mereka (rakyat) lihat bahawa jentera (pentadbiran) yang ada terlalu perlahan.

 

"(Jadi) perlu disegerakan supaya rakyat dapat rasa apa yang (telah) kita janjikan. Ini yang harus kita lakukan sekarang," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

 

Menurut beliau, sepatutnya tiada masalah bagi penjawat awam di negeri ini untuk melaksanakan tugas masing-masing berikutan sudah menerima arahan sejak awal lagi.  

 

"Sebenarnya arahan dah dimaklumkan ketika (pembentangan) bajet (negeri). Itu yang kita (Kerajaan Negeri) nak bantu pada rakyat.

"Sekarang adalah masa untuk kita laksanakan dan jangan (pula) tunggu hingga (sampai) hujung tahun. 

 

"Sebab hujung tahun nanti, kita nak lihat adakah faedah yang telah diterima (rakyat) itu betul (sesuai) atau perlu ditambah baik untuk bajet akan datang," katanya.

 

Selain itu, Aminuddin turut membuat teguran berkaitan isu kelewatan pembayaran terhadap kontraktor yang melaksanakan projek melibatkan Kerajaan Negeri.

 

"Perkara ini harus disegerakan, sebab saya tak nak lihat kontraktor kita hadapi masalah. Mereka berhutang kerana tak punya modal yang besar, khususnya (kontraktor kelas) G1, G2 dan G3.

 

"Jadi apabila kerja-kerja itu selesai dalam tempoh yang telah ditetapkan dan diperhalusi (bahawa) kerjanya tepat ikut spesifikasi, maka bayarlah (dalam tempoh) 14 hari selepas itu.   

 

"Apa masalahnya? Kenapa kita nak simpan duit mereka? Mereka pun boleh bayar balik (hutang) dan (impaknya) ekonomi akan berkembang lebih cepat. Tak adil untuk mereka tunggu sampai tiga bulan, empat bulan dan enam bulan," katanya.  

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Pengawal di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan bagi Tahun 2019 di Klana Resort, di sini.

 

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Khidir Majid.