GALAK KHATAN ANAK SEJAK LAHIR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib          Sabtu, 01 Disember 2018 

SEREMBAN: Ibu bapa digalakkan mengkhatan anak masing-masing, sebaik sahaja dilahirkan bagi memudahkan mereka dalam urusan ibadah kelak. 

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu boleh direalisasikan melalui teknologi perubatan masa kini yang serba canggih.

 

"Kalau di peringkat awal dah disunatkan, maka boleh terus latih dan bawa anak kita pergi masjid. Lebih mudah dan mereka (anak-anak) pun tahu nak jaga kebersihan, itu maksud saya. 

 

"(Lagipun) macam di luar negara misalnya anak orang Arab, mereka berkhatan dari peringkat awal. Sebahagian orang Yahudi dan Kristian pun sama, jadi tak ada masalah.   

"Kalau dulu kita mungkin takut-takut, sebab (ambil kira) teknologi perubatan itu sendiri. Tapi dengan prosedur (perubatan) yang ada, kita dah mampu berkhatan lebih awal," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran KPJ Seremban, di sini, hari ini.

 

Turut hadir adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof; Pengarah Perubatan KPJ, Prof Dr Wan Hazmy Che Hon dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Puan Maisarah Omar.

 

Mengulas program diadakan pula, Maisarah berkata, seramai 50 kanak-kanak terlibat pada sesi kali ini yang merupakan edisi ke-11.

 

"17 daripadanya merupakan golongan asnaf yang ditaja sepenuhnya. Mereka dipilih melalui kerjasama Perkasih Negeri Sembilan," katanya.

1/4